Sunday, March 28, 2010

..persamaan teori Arnold Gesell, R0bert Havighurst, Grandville Stanley Hall..


Perkembangan bermaksud kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi menjadi dewasa. Ia merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada sifat baru yang berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Terdapat beberapa persamaan di dalam teori perkembangan yang dikemukan oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Arnold Gesell, Robert Havighurst dan Grandville Stanley Hall.


Persekitaran Mempengaruhi Perkembangan

Berdasarkan teori yang dikemukakan oleh ketiga-tiga tokoh iaitu, Arnold Gesell, Robert Havighurst dan Grandville Stanley Hall, mereka berpendapat mengatakan bahawa faktor persekitaran mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Persekitaran merujuk kepada semua pengalaman luar individu tersebut. ia termasuk pengalaman sebelum dan selepas lahir. Apa yang dimaksudkan dengan pengalaman sebelum lahir adalah pemakanan dan kesihatan ibu, sama ada ibu itu merokok ketika hamil, rawatan yang diterima, usia dan keadaan emosi ibu. Faktor selepas kelahiran pula adalah seperti pemakanan, masyarakat, rakan sebaya dan sebagainya. Sebagai contoh, kanak-kanak yang membesar di rumah teres lebih mudah bersosialisasi dan bergaul dengan orang lain berbanding kanak-kanak yang membesar di pangsapuri. Hal ini kerana persekitaran kawasan perumahan teres yang mempunyai taman permainan dan memudahkan kanak-kanak untuk bermain.


Perkembangan Mengikut Urutan

Mengikut pendapat ketiga-tiga tokoh ini, mereka mengatakan setiap proses perkembangan mesti mengikut urutan. Perkembangan juga bermula daripada konkrit kepada abstrak. Ia berlaku pada setiap peringkat ke peringkat lain dalam urutan perkembangan mahupun urutan semulajadi. Bermula dari kelahiran seseorang bayi sehingga ia melalui proses kematangan. Sebagai contoh, kanak-kanak yang berumur 7 bulan sudah mampu duduk dan merangkak. Proses perkembangan itu akan mengikut pola dan urutan. Si kecil tidak boleh terus berjalan. Dia perlu berdiri dengan bantuan objek terlebih dahulu. Dalam proses perkembangan ini, pengawasan orang dewasa seperti ibu bapa amat diperlukan.


Tiada Paksaan Dalam Proses Perkembangan

Selain itu, persamaan yang terdapat pada ketiga-tiga teori ini adalah tiada paksaan dalam proses perkembangan. Peranan ibu bapa dan guru sangat penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak. Si kecil akan membesar dan melalui setiap proses perkembangan mengikut keupayaan dan kebolehannya tersendiri. Di sini jelas dinyatakan bahawa ibu bapa dan guru tidak boleh memaksa si kecil melakukan sesuatu dengan tiba-tiba dan paksaan. Sebagai contoh, kanak-kanak yang baru berusia 2 tahun diajar menaiki basikal sedangkan kemahiran motor mereka belum berkembang. Apatah lagi, otot-otot badan mereka masih belum kukuh dan terbina. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kanak-kanak pada tahap ini baru mula berjalan dan mereka masih tidak mampu mengawal keseimbangan badan. Jadi, biarlah mereka mengeksplorasi dunia mereka sendiri dengan keseronokan dan semulajadi tanpa paksaan.

0 comments on "..persamaan teori Arnold Gesell, R0bert Havighurst, Grandville Stanley Hall.."

Post a Comment

 

PERGERAKAN LOKOMOTOR & BUKAN LOKOMOTOR Copyright 2008 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | All Image Presented by Tadpole's Notez